Tuesday, June 17, 2014

Tarikh ini, pada tahun lepas, saya di ambang ujian getir. Semalaman mata enggan lelap. Namun kantuk tetap kalah oleh musibah yang menimpa tatkala itu. Pagi selepas menghantar anak-anak ke rumah pengasuh, saya duduk menunggu emak yang dalam perjalanan untuk datang menemani saya sebentar. Dan emak juga belum tidur semenjak hari sebelumnya. Ketika itu saya memerlukan sokongan. 

Semalam, saya membaca berita kejadian bunuh di MSU. Hati jahat saya ketawa. Dan saya mengulangi kata-kata yang serupa kepada suami dan emak, "Itu lah, banyak sangat buat onar kat orang. Lepas ni akan ada macam-macam lagi. Mesti berhantu kawasan tu." Jauh di sudut hati saya, saya ingin hati yang lebih bersih - memaafkan, melupakan. 

Tapi saya manusia lemah, manusia awam. Ini bukan soal reputasi, maruah dan wang ringgit semata-mata. Saya yakin telah diperlakukan secara tidak adil. Dan yang paling menyakitkan, oleh sebuah institusi yang dahulunya sangat saya sayang dan banggakan. 

Begitupun, saya kagumi aturan hidup saya oleh Allah. Kerana saya sering merintih untuk sesuatu, maka Dia beri. Tapi sebelum Dia beri apa yang saya minta, Dia beri sesuatu yang paling saya tidak suka - keperitan, kesedihan, malu, maruah yang tercalar serta secebis perasaan benci yang entah bila mampu saya buang. Iya, ianya satu ujian. 

Ironinya jalan hidup ini. Sebelum MSU, saya pernah bekerja dengan 3 buah syarikat Cina dan sebuah syarikat India. Memilih untuk mengembangkan kareer di sebuah institusi milik penuh bumiputera Melayu, yang ketika itu sangat saya bangga-banggakan (kerana saya merupakan graduannya) benar-benar merupakan batu loncatan buat saya. Kenyataan yang saya sebutkan beberapa kali ketika saya mengambil keputusan untuk menerima tawaran kerja dari mereka. 

Ianya batu loncatan untuk sebuah hakikat hidup. Pelajaran yang begitu banyak, pengajaran yang begitu berkesan, teladan yang perlu dihayati dan sempadan yang mesti saya jauhi. Hikmah kejadian sekitar tarikh ini juga sangat dramatik. Tanpa tragedi ini, saya tak mungkin berada di tempat saya duduk hari ini.

Monday, June 16, 2014

Kenangan bersama sidang redaksi Xinguang

Dua minggu yang lalu, saya mendapat jemputan untuk menulis dalam satu ruangan di majalah Xinguang. Perkara ini adalah lanjutan daripada emel saya yang meminta soft copy dalam format gambar bagi satu artikel Xinguang yang terdahulu. Kerana itu, saya ditawarkan untuk menulis 'after read' sebagai respon terhadap artikel berkenaan.

Semalam, editor Xinguang menghubungi saya melalui telefon pejabat.

"Saya nak ambil gambar cikgu, boleh?"

"Boleh, bila?"

"Sekarang saya datang pejabat cikgu."

"Erm... hari lain boleh tak? Hari ni saya tak cantik la."

Kami ketawa.